16 Nov 2012

Pendidikan Bahasa Melayu


Negara kita telah mencapai kemerdekaan lebih daripada empat dekad. Selama itu pihak kerajaan dan pejuang bahasa berusaha mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi negara dan bahasa pengantar ilmu seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan dan Perundangan Malaysia. Namun demikian pelaksanaan dasar bagi merealisasikan matlamat tidak berjalan dengan licin. Ini kerana hasrat yang telah dipersetujui dalam dasar dan akta terpaksa diubah suai dan dilaksanakan mengikut tuntutan semasa, sehingga para pengkaji dan pengamal dasar berada dalam keadaan keliru. Para pengamal dasar pula mendapati kelemahan-kelemahan tertentu yang sukar di atasi pada peringkat pelaksanaan. Pembentangan ini cuba meneliti hasrat dasar bahasa yang terkandung dalam Perlembagaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan kemudian menilai sejauh mana pelaksanaan pengajaran bahasa Melayu dapat merealisasikan hasrat tersebut.

Skop pembentangan ini terbatas kepada tiga persoalan utama. Pertama, apakah hasrat Dasar Bahasa Kebangsaan dan Pendidikan Bahasa Kebangsaan yang terkandung dalam Perlembagaan dan Perundangan Malaysia? Kedua, sejauh manakah Dasar Bahasa Kebangsaan dan Pendidikan bahasa Melayu dilaksanakan selepas negara mencapai kemerdekaan yang merangkumi zaman awal pascakemerdekaan, zaman reformasi pendidikan, dan era globalisasi dan teknologi maklumat memenuhi hasrat tersebut? Ketiga, apakah agenda pendidikan bahasa Melayu yang masih belum selesai dan perlu dijadikan agenda penting pada abad ke-21 bagi memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pengantar ilmu dan pembina tamadun bangsa? Kerangka teori jurang digunakan sebagai panduan bagi membincangkanperbezaan antara hasrat dan pelaksanaan dasar serta mengenal pasti keperluan yang wajar dipenuhi bagi memastikan matlamat dasar tercapai. 

Hasil penelitian menunjukkan bahawa hasrat Dasar Bahasa Kebangsaan dan Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan dan Perundangan Malaysia ialah: bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan pengantar utama dalam sistem pendidikan. Namun, dalam pelaksanaan dasar sejak zaman selepas merdeka hingga masa kini, pencapaian pelaksanaan tidak selaras dengan hasratnya. Bukti-bukti menunjukkan bahawa terdapat jurang antara hasrat dengan pelaksanaan dasar di institusi pendidikan awam dan swasta. Kualiti pendidikan bahasa serta produknya tidak sampai tahap yang boleh dibanggakan. Kadangkala, kita berhadapan dengan guru-guru yang tidak berketrampilan untuk mengajarkan bahasa Melayu terutama di sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan dan di Institusi Pendidikan Tinggi Swasta. Tambahan pula, sesetengah kumpulan pendidik dan pelajar menganggap penguasaan bahasa Melayu standard tidak penting. 

Selain itu, penekanan kerajaan terhadap kepentingan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan pada abad ke-21 meneguhkan sikap negatif sesetengah pihak terhadap bahasa Melayu. Namun, golongan pelajar dan pekerja yakin bahawa bahasa Melayu dan bahasa Inggeris berperanan dalampembangunan sumber manusia pada abad ke-21. Justeru, penyelesaian masalah utama dalam pendidikan Melayu khususnya, dari segi asas bahasa dan pedagogi bahasa dan masalah kualiti bahasa Melayu yang digunakan oleh para guru dan pelajar, masalah ketrampilan guru bahasa Melayu khususnya, dari segi asas bahasa dan pedagogi bahasa dan masalah kualiti pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di institusi Pendidikan Tinggi Swasta. Masalah-masalah inilah yang menjadi 'duri dalam daging' dalam pendidikan bahasa Melayu, di samping masalah sikap pelajar, guru dan pelaksana dasar di peringkat makro dan mikro.

Dipetik dari http://www.ukm.my/penerbit/f588-6.html 


2 comments:

  1. Tahniah atas kejayaan pembikinan blog ini. Semoga sukses selalu.

    ReplyDelete
  2. wah hebat blog kakak nie....tahniah! Good informations on BM teachings shared....

    ReplyDelete